Domain dan hosting, faham dalam 5 minit
Ramai pemilik bisnes keliru antara domain, hosting dan website. Senang sahaja: bayangkan sebuah kedai.
Domain: alamat kedai
Domain ialah nama yang orang taip untuk sampai ke website awak, contohnya kedaiaina.com.my. Awak sewa domain setiap tahun daripada syarikat pendaftar domain. Jika tidak diperbaharui, alamat itu boleh terlepas kepada orang lain.
Tips pilih nama domain
- Pendek dan mudah dieja bila disebut dalam telefon
- Elakkan sengkang (-) dan nombor yang mengelirukan
- Sama atau hampir sama dengan nama bisnes dan Instagram awak
- Semak harga pembaharuan tahun kedua, bukan harga promosi tahun pertama sahaja
.com atau .com.my?
.com.my menunjukkan bisnes awak di Malaysia dan biasanya memerlukan bisnes berdaftar dengan SSM. .com lebih umum dan sesuai jika awak ada pelanggan di luar negara. Kedua-duanya boleh muncul di Google. Yang paling penting, pilih satu yang mudah diingati dan guna yang sama di semua tempat: kad nama, Instagram, Google Business Profile.
Hosting: bangunan yang disewa
Hosting ialah komputer (server) yang menyimpan fail website awak dan menghantarnya kepada pelawat 24 jam sehari. Hosting yang baik itu laju, ada backup automatik dan SSL (ikon kunci di pelayar). Hosting paling murah selalunya tiada backup, jadi bila ada masalah, website susah dipulihkan.
Website: isi kedai
Website ialah apa yang pelanggan nampak: gambar, ayat, harga dan butang WhatsApp. Awak boleh tukar isi kedai bila-bila masa tanpa tukar alamat atau bangunan.
Soalan paling penting: atas nama siapa?
Ini perkara yang paling kerap menyusahkan pemilik bisnes. Jika domain dan hosting didaftar atas nama pereka website atau kawan, awak bergantung kepada mereka untuk setiap perubahan. Bila mereka sibuk, berpindah atau tidak dapat dihubungi, website dan e-mel bisnes awak boleh terhenti.
Kesilapan yang biasa berlaku
- Domain didaftar oleh pereka website atas nama mereka sendiri
- Terlupa perbaharui domain, lalu website dan e-mel bisnes hilang serentak
- Pilih hosting paling murah tanpa backup
- Tiada siapa dalam syarikat tahu kata laluan akaun domain dan hosting
Buat hari ini (10 minit)
- Log masuk ke akaun domain awak. Semak nama pemilik (registrant) ialah awak atau syarikat awak.
- Hidupkan pembaharuan automatik (auto-renew) dan semak tarikh tamat domain.
- Pastikan e-mel log masuk ialah e-mel yang awak sendiri buka setiap hari.
- Simpan semua kata laluan dalam password manager, bukan dalam WhatsApp.
Tidak jumpa akaun domain awak, atau tidak pasti siapa pemiliknya? Itu tanda awal yang perlu diselesaikan sebelum ia jadi masalah.